Sejak kebelakangan ni aku sentiasa memikirkan tentang ayahku. Dulunya masa aku kecil, aku paling selesa dengannya. Bila aku remaja, aku memusuhinya. Kini bila aku bergelah ayah, baru aku tahu apa yang dia rasa waktu aku masih kecil.
Fikiran ni membuatkan aku sentiasa sayu. Masa yang berlalu takkan dapat diulang kembali. Aku tak ingin sia-siakan masa yang masih ada untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Jujur aku mengakui yang aku tak pernah rasa seperti anak orang lain waktu remaja. Sejak arwah ibu aku meninggal, ayah menjadi musuh aku. Semuanya gara-gara salah faham dan fikiran yang serabut. Semuanya takkan dapat aku tebus kembali. Faktor luaran banyak mempengaruhi aku dan ayah.
Tak pernah sekalipun aku dan ayah bercakap baik-baik dan berbincang seperti keluarga pada masa dulu. Rasanya inilah pertama kalinya aku bercakap-cakap dengan ayah seperti ayah dan anak, bukan seperti musuh atau lawan. Sesungguhnya satu masa dulu aku pernah mencabar kekuasaan Tuhan bahawa aku takkan mempunyai hubungan baik dengan ayah.
Sebenarnya dalam mencabar itu aku letakkan sebuah harapan. Harapan yang pada aku takkan mungkin terjadi. Tapi kuasa Tuhan tiada siapa boleh halang dan tiada siapa pun boleh menjangka masa depan. Tak pernah aku fikir yang aku boleh bersembang dengan ayah seperti mana orang lain bersembang dengan ayah mereka.
Percayalah, saat itu adalah saat yang paling manis dan paling ditunggu-tunggu. Walau sekeras mana pun hati, tetap akan lembut. Apa lagi bila ayah sendiri menceritakan kembali pengalamannya yang dulu. Semuanya kini menjadi jelas dan nyata. Aku yang salah dan ayah yang betul.
Aku bersyukur kerana ayah masih ada waktu aku menyedari ini semua. Tapi aku takut sekiranya satu hari nanti ayah akan pergi dan takkan kembali. Dan aku malas untuk terus berfikir tentang tu. Biarkan aku hayati dan nikmati waktu-waktu yang masih ada ni.

No comments:
Post a Comment