Monday, August 29, 2011

Ya Tuhanku..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ya Tuhanku, dengan berlalunya ramadhan tahun ini berlalulah juga nikmatmu yang tak sempat aku kejari. Maka kau ampunkanlah aku kerana sering kali saja berlengah dalam mendatangin Mu. Hancur luluhkanlah perasaan riak, bangga diri dan suka kepada kepujian yang ada dalam diriku ini. Sesungguhkan segala pujian hanya layak untuk Mu jua. 

Ya Tuhanku, ampunilah aku kerana sentiasa lalai dalam menghirup nikmatmu. Jarang sekali aku memikirkan semua nikmat yang telah Kau berikan padaku. Tembok keakuanku terlalu menebal dalam diri ini. Sebetulnya aku ini hanyalah hamba Mu yang daif lagi fakir, sentiasa memerlukan Mu. Maka ampunilah aku wahai Zat yang Maha Pengampun.

Ampunilah aku juga kerana masih belum dapat mengenal diriku sendiri untuk aku mengenal Mu. Begitu banyak cabaran dan dugaan, begitu kuat juga nafsu yang merasuk diriku ini. Harapan ku agar suatu hari nanti, Kau berikan hidayah Mu kepadaku agar dapat aku mengenali Mu sebagai Tuhanku dan aku sebagai hamba Mu. 

Sampaikanlah ucapan salam sejahteraku kepada rasul junjungan yang aku menjadi umatnya, yang mana beliau juga menjadi kekasih Mu. Semoga di suatu waktu dan ketika aku dapat mencontohi akhlaknya, mengikuti ajarannya dan menyayanginya dengan sebenar-benarnya. 

Sejahteralah ke atas mereka yang Engkau kasihi. 

Amin ya rabbal alamin.

Saturday, February 12, 2011

Di sini

Lama sunggah rasanya tangan ini tak pernah menghulurkan sedekah. Selama itu jugalah aku hidup dengan mementingkan diri sendiri. Ibu dan ayah memberikan nama yang terbaik padaku tapi sikapku seringkali gagal mencerminkan maksud nama yang diberi. Maka bukan salah mereka aku begini. Sesungguhnya ibu dan ayahku telah memberi yang terbaik buatkan dan kini mereka telah terlepas tanggungjawabnya ke atas diriku. Ya Allah, ampunilah dosa kedua orang tuaku. Kasihilah mereka kerana mereka terlalu mengasihiku dan menatangku sewaktu aku kecil. Ampunkanlah juga dosaku pada mereka atas sebab kejahilanku selama ini.

Perasaan aku hari ni bercampur-campur. Suram, sedih & kecewa. Bukan kecewa kerana cinta. Tapi kecewa kerana aku masih belum kenal siapa Penciptaku. Aku masih belum kenal sepenuhnya sifat-sifatNYA. Paling mengecewakan adalah bila aku rasa aku telah terlalu jauh hayut daripadaNYA. Ku pujuk hati ni dengan cita-cita bahawa satu hari nanti akan ku cari jalan juga untuk mengenali yang HAQ. Sungguh! Tak mahu aku selamanya begini. Hidup dalam kegelapan. Ada mata tapi masih belum mampu melihat dengan sempurna.

Penyakit hatiku masih belum reda. Bahkan semakin hari semakin sakit, mungkin tenat. Bagaimana untuk aku buang segala sifat angkuh, bongkak, riak, hasad dan dengki ini? Siapa yang boleh menunjukkan jalan kepadaku selain daripadaNYA? Mampukah aku membuang dunia dan segala isinya daripada hatiku ini? Mampukah aku mematikan diri sebelum ajal datang menjemput.

Ya Allah. Demi cintaMU padaku, tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Jalan yang ENGKAU redhai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Sesungguhnya tiadalah daya upayaku melainkan kepada MU jua aku menyerah. Ampunilah aku kerana masih belum dapat mengenalmu.

Aku masih di sini

Sekian lama aku tak mengemaskini blog ni. Tak banyak untuk diperkatakan. Aku bukanlah ada apa-apa ilmu untuk dikongsi bersama. Cuma aku menceritakan apa yang aku alami dan apa yang aku fikirkan.

Baru-baru ni aku ada pergi berjumpa seseorang yang selama ni hanya dikenali dalam alam maya. Aku sering membaca blognya dan sangat tertarik untuk berjumpa dengannya. Tempatnya agak jauh nun di Sabak Bernam. Kebetulan peluang datang dan aku terus luangkan masa untuk ke sana.

Ternyata orangnya lain daripada apa yang aku sangkakan. Tapi macam biasa, aku rasa terlalu bodoh kalau berjumpa dengan orang-orang macam ni. Ada juga aku cuba korek sikit-sikit. Tapi bukan mudah. Melalui anak muridnya aku tahu bahawa untuk berdamping dengan orang sebegini aku perlu berbai'ah. Fahamlah aku kalau begitu maksudnya aku akan masuk 'tarekat'.

Aku teruskan perjalanan dengan mencari siapa Tuhan yang sebenar. Aku kenal Tuhan hanya pada nama dan huruf kerana itulah yang diajarpun selama ni. Pendidikan sekolah yang aku dapat mengajar aku supaya solat 5 waktu, puasa dan sebagainya. Namun aku rasa aku masih belum kenal siapa Tuhan. Diri aku sendiri pun aku tak kenal, mana mungkin aku kenal Tuhan yang sebenar-benarnya. Manakan tidak! Bila disebut Allah, aku hanya bayangkan Alif, Lam, Lam, Ha ataupun A, L, L, A, H.

Dulu masa kecil aku belajar sifat-sifatNYA. Ayah aku sendiri telah ajarkan sebelum aku belajar daripada orang lain. Katanya Allah itu Maha Melihat tapi bukanlah melihat dengan mata seperti manusia. Dan, memang aku tak boleh terima kata-kata tu. Maklumlah, aku baru darjah 1-2 waktu tu.

Sehinggalah sekarang. Aku masih dalam mode pencarian. Siapa aku yang sebenar? Siapa Tuhanku? Betapa resahnya hati ni tak mengenali siapa yang disembah.

Ya Allah, Zat yang wujud lagi maujud. Ilhamkanlah aku ilmu mengenal diri supaya aku dapat mengenali Mu. Sesungguhnya aku adalah hambamu yang tiada apa-apa.

Tuesday, January 11, 2011

Sama

Aku mula perasan yang kita semua ni hanya pembawa watak masing-masing. Dunia ni macam filem saja. Realitinya kita sama. Lebih tepat lagi kita semua berasa dari satu punca yang sama. Lama dah aku fikirkan. Walaupun hidup di dunia ni ada yang susah, senang, kaya dan miskin sebenarnya tu hanyalah jasad, pandangan mata kasar dan watak manusia di bumi. Sampai masa kita akan kembali kepada yang berhak dan di situ kita adalah sama. 

Jadi jika kita adalah sama, untuk apa rasa bangga, bagus dan besar? Jalankan saja watak kita dalam alam ni mengikut aturan yang telah ditetapkan.