Saturday, February 12, 2011

Di sini

Lama sunggah rasanya tangan ini tak pernah menghulurkan sedekah. Selama itu jugalah aku hidup dengan mementingkan diri sendiri. Ibu dan ayah memberikan nama yang terbaik padaku tapi sikapku seringkali gagal mencerminkan maksud nama yang diberi. Maka bukan salah mereka aku begini. Sesungguhnya ibu dan ayahku telah memberi yang terbaik buatkan dan kini mereka telah terlepas tanggungjawabnya ke atas diriku. Ya Allah, ampunilah dosa kedua orang tuaku. Kasihilah mereka kerana mereka terlalu mengasihiku dan menatangku sewaktu aku kecil. Ampunkanlah juga dosaku pada mereka atas sebab kejahilanku selama ini.

Perasaan aku hari ni bercampur-campur. Suram, sedih & kecewa. Bukan kecewa kerana cinta. Tapi kecewa kerana aku masih belum kenal siapa Penciptaku. Aku masih belum kenal sepenuhnya sifat-sifatNYA. Paling mengecewakan adalah bila aku rasa aku telah terlalu jauh hayut daripadaNYA. Ku pujuk hati ni dengan cita-cita bahawa satu hari nanti akan ku cari jalan juga untuk mengenali yang HAQ. Sungguh! Tak mahu aku selamanya begini. Hidup dalam kegelapan. Ada mata tapi masih belum mampu melihat dengan sempurna.

Penyakit hatiku masih belum reda. Bahkan semakin hari semakin sakit, mungkin tenat. Bagaimana untuk aku buang segala sifat angkuh, bongkak, riak, hasad dan dengki ini? Siapa yang boleh menunjukkan jalan kepadaku selain daripadaNYA? Mampukah aku membuang dunia dan segala isinya daripada hatiku ini? Mampukah aku mematikan diri sebelum ajal datang menjemput.

Ya Allah. Demi cintaMU padaku, tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Jalan yang ENGKAU redhai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Sesungguhnya tiadalah daya upayaku melainkan kepada MU jua aku menyerah. Ampunilah aku kerana masih belum dapat mengenalmu.

No comments:

Post a Comment